Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di Negeri Kedah bermula selepas perang dunia kedua apabila pejabat Wilayah Utara dibuka pada tahun 1956 di Pulau Pinang. Pejabat ini bertempat di Fort Conwallis, Pulau Pinang memberi khidmat perancangan kepada Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Encik Walter Fairbank.
Pada 1 Januari 1965, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Kedah/Perlis ditubuhkan. Pejabat pertamanya terletak di belakang bangunan Pejabat Majlis Bandaran Alor Star di Jalan Langgar Alor Star. Jabatan ini ditadbir oleh Encik Chung Weng Foo, Pegawai Perancang Negeri Pulau Pinang dengan dibantu oleh seorang kadet teknikal dan 8 orang kakitangan lain.
Pada 30 Ogos 1967, Jabatan Perancang Bandar dan Kampong Kedah/Perlis telah berpindah ke Tingkat 2, Bangunan Kerajaan Negeri di Jalan Sultan Badlishah Alor Star bersebelahan dengan Bangunan Persekutuan. Ketika ini anggota petugasnya telah bertambah menjadi 11 orang dan Pengarahnya ialah Encik Ishak bin Ariffin.
Tanggal 1 Januari 1969, Jabatan Perancang Bandar dan Kampong Kedah dan Perlis telah dipisahkan mengikut negeri masing-masing. Pada waktu itu, ianya dikenali sebagai Jabatan Perancang Bandar dan Kampong Negeri Kedah dan Jabatan Perancang Bandar dan Kampong Negeri Perlis.
Pada 1 Februari 1975, perkataan ‘Kampong’ dalam nama Jabatan telah digantikan dengan ‘Desa’. Pada 9 Januari 1983, Jabatan ini sekali lagi berpindah ke Aras 10, Bangunan Sultan Abdul Halim. Pada tahun 1995, perkataan ‘Perancang’ dalam nama Jabatan telah digantikan dengan ‘Perancangan’. Pada 25 Januari 2017, Mesyuarat Kabinet telah meluluskan penjenamaan semula iaitu Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia).
Pengisian perjawatan terkini adalah terdiri dari 14 orang kakitangan pentadbiran dan 34 orang anggota teknikal. Kumpulan Pengurusan dan Profesional seramai 10 orang adalah merupakan Pegawai Perkhidmatan Pengurusan yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri. Jawatan baharu diluluskan melalui S.K.P : N224 Tahun 2024. Jumlah perjawatan di dalam Surat Kelulusan Perjawatan bagi PLANMalaysia Kedah adalah seramai 61 orang lapisan pegawai.